Monday, January 4, 2010

13-08-2009: Kerajaan Setuju Naiktaraf LTSAS Libatkan Kos RM120 Juta

13 Ogos, 2009 20:03 PM
Kerajaan Setuju Naiktaraf LTSAS Libatkan Kos RM120 Juta

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang dijangka melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata kerja-kerja naik taraf itu akan melibatkan pemanjangan landasan sedia ada kepada 2000 meter berbanding 1800 meter ketika ini, pembinaan satu 'taxiway'(laluan kapal terbang bergerak di darat) yang selari dengan landasan berkenaan serta menaik taraf bangunan terminal LTSAS sekarang.

"Ia telahpun dipersetujui petang ini dan adalah diharapkan bahawa sebaik sahaja peruntukan yang dianggarkan itu dapat diluluskan nanti, moga-moga projek ini dapat kita laksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas taklimat tertutup LTSAS di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Darul Ridzuan di sini Khamis.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis taklimat itu yang turut disertai Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ong berkata projek menaik taraf LTSAS itu adalah bukti komitmen kerajaan yang sebelum ini telahpun memberi kelulusan kepada beberapa syarikat penerbangan Malaysia dan Singapura menawarkan perkhidmatan mereka bagi laluan Ipoh-Singapura.

Katanya selain Firefly, perkhidmatan laluan penerbangan Ipoh-Singapura akan turut ditawarkan AirAsia dan dua syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Singapura iaitu Tiger Airways dan Jetstar Asia Airways.

"Inilah satu-satunya yang saya nampak sebagai satu titik-tolak untuk memangkinkan ekonomi negeri Perak melalui pengangkutan," katanya.

Ong berkata projek naik taraf itu tidak akan melibatkan sebarang pengambilan tanah ataupun keperluan untuk memindahkan penduduk di berapa kawasan perumahan berdekatan LTSAS.

SOURCE (Sumber): Bernama: 13-08-2009


No comments:

Post a Comment