Monday, January 4, 2010

05-06-2009: Naik taraf akan dimulakan

SABAH & SARAWAK
ARKIB : 05/06/2009
Naik taraf akan dimulakan
Oleh asikin liam

SANDAKAN 4 Jun - Kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan dengan kos RM110 juta akan dimulakan tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu reka bentuk bangunan daripada juruperunding dan akan melantik kontraktor sebaik menerima dokumen berkenaan.

Menurutnya, kerja tersebut membabitkan penambahbaikan kepada sistem sedia ada termasuk bangunan utama, terminal pelepasan dan ketibaan serta kaunter-kaunter pemeriksaan.

''Naik taraf ini dijangka mampu mengatasi masalah kesesakan dan rasa tidak selesa di lapangan terbang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat lapangan terbang berkenaan semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Datuk V.K Liew.

Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat berkata, projek tersebut akan bermula tahun ini dan perlu disiapkan dalam tempoh tidak lebih dua tahun.

Katanya, jambatan udara di lapangan terbang berkenaan akan ditambah bagi menampung keperluan pesawat Airbus A330 dan Boeing 737-800 manakala kawasan terbuka pula bagi menempatkan pesawat Fokker 50 dan ke bawah.

Beliau menambah, tahun lalu, Lapangan Terbang Sandakan menerima kunjungan lebih 600,000 penumpang dan jumlah itu dijangka meningkat berdasarkan kepada pembangunan pesat daerah ini.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia (Wilayah Sabah & Sarawak): 05-06-2009

No comments:

Post a Comment