Monday, January 4, 2010

08-11-2009: Kabinet lulus RM60 juta naik taraf LTSAS

ARKIB : 08/11/2009
Kabinet lulus RM60 juta naik taraf LTSAS

IPOH 7 Nov. - Impian rakyat Perak untuk melihat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dinaik taraf akhirnya tercapai apabila mesyuarat Kabinet semalam meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi tujuan tersebut.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, projek tersebut dijangka bermula tahun depan dan pelantikan kontraktor akan ditentukan oleh Kementerian Pengangkutan.

''Peruntukan RM60 juta ini melibatkan kerja-kerja memanjangkan landasan LTSAS dari 1,800 meter kepada 2,000 meter dan menaik taraf kemudahan di Kompleks Kastam serta pengangkutan awam di sekitar kawasan itu," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pasar baru Kampung Baru Tanah Hitam di Chemor dekat sini hari ini.

Pada masa ini, hanya dua syarikat penerbangan iaitu Firefly dan Riau Airlines yang beroperasi di LTSAS selepas AirAsia menggantung penerbangan pada 2006 kerana lapangan terbang tersebut tidak dapat menampung pendaratan pesawat Airbus A320.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, semua menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian telah diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk melawat projek bermasalah setiap bulan.

Katanya, mereka perlu melawat setiap projek bermasalah yang dilaporkan oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia: 08-11-2009

No comments:

Post a Comment