Thursday, January 28, 2010

27-01-2010: Melaka Tawar Ambil Alih Operasi Terminal LTAM

January 27, 2010 19:25 PM
Melaka Tawar Ambil Alih Operasi Terminal LTAM

MELAKA, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Melaka berminat untuk mengambil alih pengurusan terminal baru Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang berharga RM190 juta di Batu Berendam di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata LTAM yang kini diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerajaan negeri bersama rakan kongsi Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd telah mengemukakan tawaran kepada MAHB untuk pengurusan LTAM.

Senai Airport Terminal Services kini menguruskan perkhidmatan terminal Lapangan Terbang Senai sejak 2003 dan mereka merupakan pengendali lapangan terbang pertama yang bebas di negara ini.

"Cadangan untuk mengambil alih LTAM secara usaha sama itu telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Seri Negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata maklum balas EPU ialah cadangan ambil alih itu dirundingkan dengan MAHB untuk persetujuan.

LTAM yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis depan, mempunyai sebuah terminal baharu seluas 7,000 meter persegi dilengkapi pelbagai kemudahan untuk menerima penerbangan antarabangsa dan domestik.

Terminal baru LTAM itu boleh mengendalikan 1.5 juta penumpang setahun berbanding hanya 300,000 sebelum ini dan mempunyai empat kaunter bagi kemudahan berlepas dan enam kaunter bagi kemudahan mendarat bagi penerbangan antarabangsa dan domestik.

LTAM yang mempunyai kapasiti 1.5 juta penumpang setahun disasarkan sebagai hab pelancongan kesihatan terutama pada pelancong kesihatan dari Indonesia.

Mohd Ali berkata beliau telah berunding dengan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad. Ketua Menteri berkata konsortium usaha sama antara kerajaan negeri dan Senai Airport Terminal Servicss itu bercadang untuk mengurangkan cukai lapangan terbang seorang penumpang yang kini dicaj pada RM52.

"Caj RM52 adalah terlalu tinggi bagi syarikat tambang murah AirAsia atau Penerbangan Malaysia (MAS) untuk beroperasi menggunakan LTAM," katanya.

Beliau berkata MAHB telah memberi potongan RM25 pada tahun pertama dan RM12 pada tahun kedua daripada caj RM52 untuk AirAsia beroperasi di LTAM tetapi syarikat tambang murah itu menawarkan harga RM8 caj lapangan terbang bagi seorang penumpang.

"Pada masa yang sama, AirAsia juga turut menawarkan diri untuk menguruskan terminal LTAM," katanya.

Beliau berkata strategi kerajaan negeri untuk menarik syarikat penerbangan untuk menggunakan LTAM ialah caj lapangan terbang dikurangkan pada kadar minimum dan tidak terlalu tinggi.

Hanya sebuah syarikat penerbangan, iaitu Riau Airlines yang menggunakan LTAM bagi perkhidmatan harian Melaka ke Pekan Baru.

SOURCE: Bernama: 27-01-2010
Sumber: Bernama: 27-01-2010

No comments:

Post a Comment