Monday, January 4, 2010

Pembinaan Lapangan Terbang Baru Lahad Datu Diberi Keutamaan Dalam RMK-10

LAHAD DATU, 26 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Lajim Ukin berkata pembinaan lapangan terbang baru Lahad Datu yang dijangka menelan kos RM500 juta akan diberi keutamaan oleh kerajaan persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau pembinaan lapangan terbang itu yang sepatutnya dilaksanakan pada awal RMK-9 ditangguhkan akibat kegawatan ekonomi ketika itu.

"Selepas ditangguhkan dalam permulaan RMK-9, pihak Kementerian Pengangkutan sekali lagi mengemukakan permohohan kepada EPU dan juga Kementerian Kewangan, dan mereka memberi maklum balas yang sama sehingga keadaan ekonomi pulih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis naik taraf bangunan terminal lapangan terbang Lahad Datu di sini, Rabu.

Katanya projek pembinaan lapangan terbang baru ini dijangka melibatkan kos yang tinggi disebabkan ia membabitkan kawasan yang baru.

Ketika ditanya bila projek itu akan dimulakan, beliau berkata RMK-10 hanya bermula pada tahun depan dan kerja pembinaan lapangan terbang itu akan dilakukan dalam tempoh setahun hingga dua tahun selepas itu.

Katanya kerajaan negeri dan persekutuan menyedari keperluan sebuah lapangan terbang baru di Lahad Datu kerana beberapa faktor antaranya, daerah itu kini mempunyai projek Berkelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC).

Terdahulu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nasrun Datu Mansor dalam ucapannya berkata satu kawasan seluas 320 hektar di Sandau sudah dikenal pasti sebagai kawasan sesuai untuk membina lapangan terbang baru itu.

"Kini terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk meluluskan projek itu kerana tapak untuk pembinaannya sudah tersedia," katanya.

Nasrun, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, berkata daerah itu memerlukan sebuah lapangan terbang yang baru bagi menampung pembangunan yang semakin pesat dan penduduk yang bertambah.

SOURCE: BERNAMA | 26 November 2008 | 

No comments:

Post a Comment