Saturday, January 2, 2010

Pendapat: MAHB perlu sediakan kemudahan mengisi minyak di LTSIP

Saya ingin merujuk kepada laporan Business Times bertarikh 15 Ogos 2009 lalu yang bertajuk "Firefly puts flights from three states to Singapore on hold" ekoran  ketiadaan kemudahan mengisi minyak termasuk di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.

Mengikut perancangan asal, Fly Firefly (Firefly) sepatutnya akan mengadakan penerbangan terus antarabangsa empat kali seminggu bagi sektor atau laluan Kota Bharu-Singapura mulai 25 Oktober 2009 lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran ketiadaan kemudahan mengisi minyak di LTSIP.

Berdasarkan hansard soal jawab Parlimen di Dewan Rakyat bertarikh 14 Oktober 2003, Ahli Parlimen Rantau Panjang (pada ketika itu), Tn. Hj. Abdul Fatah Hj. Haron menyatakan bahawa sewaktu pembinaan terminal baharu LTSIP dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), kerajaan telah merobohkan bangunan tempat kemudahan mengisi minyak di LTSIP tetapi tidak dibina semula.

Kemudahan ini amat penting untuk pesawat kecil yang membuat penerbangan jarak sederhana untuk mengisi minyak apabila ia tiba di satu-satu destinasi ataupun untuk keperluan kecemasan bagi pesawat yang terpaksa melakukan pendaratan semata-mata untuk mengisi minyak. Kemudahan mengisi minyak ini juga amat penting bagi meningkatkan daya saing bagi sesebuah lapangan terbang lebih-lebih lagi Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ada menggariskan rancangan untuk menyediakan kemudahan mengisi minyak dan memanjangkan landasan LTSIP dari 1.981 kilometer kepada 2.8 kilometer.

Oleh itu, saya berharap agar Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) peka dalam perkara ini dan diharap dapat menyediakan kemudahan mengisi minyak di LTSIP pada tahun ini. Dengan peningkatan berterusan penumpang yang menggunakan LTSIP, maka berbaloi sekali bagi MAHB mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan mengisi minyak di LTSIP. Tambahan pula, LTSIP merupakan lapangan terbang yang tersibuk di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dari segi jumlah pengendalian penumpang dan kargo serta pergerakan keluar masuk pesawat setiap tahun.

No comments:

Post a Comment