Datuk Ahmad Razif Abd Rahman |
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk membatalkan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan, YOU Wings Airlines sekiranya masalah kekurangan sambutan bagi penerbangan secara terus dari Medan ke Kuala Terengganu tidak dapat diatasi segera.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sehingga kini hanya penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Medan sahaja dilihat mendapat sambutan.
Oleh itu katanya, kerajaan negeri telah meminta YOU Wings mengatasi masalah itu dengan kadar segera agar kedua-dua pihak mendapat manfaat situasi menang-menang dalam hubungan kerjasama berkenaan.
“Kalau tidak berlaku sebegitu, maka kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan ini, jadi tidak perlulah penerbangan terus kalau hanya ‘buang duit’ sahaja jika Kuala Terengganu - Medan sahaja penuh tapi Medan - Kuala Terengganu tidak penuh.
“Kita juga sedang melihat kemungkinan tidak perlu penerbangan terus. Kita mungkin juga akan berhubung dengan beberapa negeri termasuk Melaka. Jadi kita guna konsep, dari Medan -Kuala Lumpur - Kuala Terengganu atau Medan - Melaka - Kuala Terengganu contohnya.
“Kita sekarang ini nak panggil orang dari luar, bukan nak eksport orang kita ke sana. Ini sudah salah kerana kita pula yang pergi belanja sedangkan kita nak minta orang belanja dengan kita. Jadi saya melihat perkara ini sedang berlaku. Kalau tidak menguntungkan, kerajaan negeri mungkin menamatkan perkhidmatan ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
YOU Wings Airlines secara kerjasama dengan Sriwijaya Air mengendalikan penerbangan bagi laluan dua hala Kuala Terengganu - Medan dan Medan - Kuala Terengganu sejak hujung tahun lalu.
YOU Wings yang merupakan syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa, pengendali pesawat Sriwijaya Air yang mana syarikat penerbangan Indonesia itu merupakan pemegang saham utama syarikat tersebut.
Jelas Ahmad Razif, beliau juga sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi mengatasi masalah itu, di samping mempergiatkan pelancongan domestik.
“Pelancongan merupakan antara fokus utama kita dan saya sendiri sudah minta agar pihak pelancongan negeri mempergiatkan usaha itu, termasuk memberi tumpuan pada pelancongan domestik yang dilihat dapat memberi pulangan yang cukup baik kepada Terengganu.
“Sekarang ini pun kita sedang rangka promosi secara agresif untuk pelancong datang ke Tasik Kenyir. Bermula Mei ini, kita akan memperhebatkan promosi kerana dijangka November ini, kita akan dapat pengiktirafan bebas cukai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Terengganu | 2 April 2015
No comments:
Post a Comment