Thursday, April 23, 2015

Naik taraf LTSIP: Bangunan terminal dibesarkan untuk menampung 4.0 juta penumpang setahun

Kompleks bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu yang akan dibesarkan untuk menampung pertambahan penumpang lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini. 
MALAYSIA Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports/MAHB) merancang untuk menaik taraf kompleks bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11: 2016 - 2020).

Mengikut perancangan Malaysia Airports, bangunan terminal sedia ada yang berkeluasan 12,000 meter persegi dengan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun akan dibesarkan untuk menampung sehingga 4.0 juta penumpang setahun. 

Untuk rekod pada tahun 2014, LTSIP mengendalikan 1.8 juta penumpang, manakala pada tahun ini (2015) dijangka 2.0 juta penumpang menggunakan lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini.
   
Untuk menampang 4.0 juta penumpang setahun, bangunan terminal sedia ada dijangka akan dibesarkan kepada sekurang-kurangnya 25,000 meter persegi atau mungkin juga 30,000 meter persegi. 

Dalam pada itu, Malaysia Airports juga merancang untuk membina kompleks parkir kereta bertingkat di lapangan terbang ini berdekatan bangunan terminal sedia ada. Projek naik taraf dan pembesaran lapangan terbang ini dijangka bermula pada tahun 2016 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. 

Apabila siap kelak, kompleks bangunan terminal LTSIP bukan sahaja akan menjadi kompleks bangunan terminal terbesar di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia tetapi juga antara 10 yang terbesar di Malaysia daripada 40 buah lapangan terbang dan padang terbang komersial di negara ini.

Antara penambahbaikan yang lain yang telah dikenal pasti oleh Malaysia Airports adalah kemudahan balai perlepasan dan ketibaan yang berasingan untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment