LAHAD DATU: Projek menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu di sini dijangka dapat meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat dengan penambahan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.
Anggota Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansur berkata apabila siap kelak, lapangan terbang itu mampu membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi membawa lebih ramai penumpang mendarat.
"Bila pesawat besar mendarat, ramai pelancong akan ke sini melawat kampung nelayan atas air serta beberapa pulau yang ada di Lahad Datu. Ia dapat tingkatkan ekonomi masyarakat setempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-11 Persatuan Nelayan Lahad Datu, di sini baru-baru ini.
Katanya, buat masa ini hanya pesawat ringan yang dikendalikan MASWings beroperasi lima kali sehari membawa 70 penumpang bagi setiap penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lahad Datu.
Projek menaik taraf landasan berkenaan diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi pada November lepas ketika melakukan lawatan kerja di lapangan terbang berkenaan.
Projek naik taraf landasan dari 1.3km kepada 1.8km itu akan dilaksanakan di kawasan tanah rizab lapangan terbang seluas 153.7 hektar.
Menurut Nasrun, sebanyak RM50 juta diperuntukan di bawah Bajet 2015 bagi projek berkenaan yang kini sedang dalam proses pengurusan dan rundingan antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.
Katanya, projek berkenaan juga dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat menikmati kadar tambang murah dan memendekkan masa perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sumber: BERNAMA | 22 April 2015
No comments:
Post a Comment