SYARIKAT penerbangan milik penuh Malaysia Airlines (MAS), Firely diharap mempertimbangkan semula laluan penerbangan antarabangsa Kota Bharu - Singapura yang pernah dirintis oleh syarikat penerbangan ini pada Ogos 2012.
Selepas Firefly menamatkan perkhidmatan penerbangan terus empat kali seminggu Kota Bharu - Singapura pada Julai 2013, syarikat penerbangan AirAsia pula memperkenalkan laluan ini dari April sehingga Oktober 2014, iaitu selama tujuh bulan.
Berdasarkan pengalaman AirAsia mengoperasikan laluan ini dari April hingga Oktober tahun lepas, AirAsia hanya berjaya menarik purata kira-kira 40 peratus muatan berbanding 180 tempat duduk yang ditawarkan.
Secara matematiknya, 40 peratus daripada 180 tempat duduk bermaksud 72 tempat duduk berjaya dipenuhkan dalam satu-satu penerbangan. Walau bagaimanapun, jumlah penumpang yang menaiki pesawat melebihi 100 orang dalam satu-satu penerbangan pada bulan-bulan terakhir semula laluan ini ditamatkan.
Firefly yang menggunakan pesawat jenis ATR72-500/600 berkapasiti tempat duduk 72 orang merupakan syarikat penerbangan yang paling sesuai beroperasi semula bagi laluan ini.
Buat permulaan, Firefly mungkin boleh menawarkan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap Ahad, Rabu, dan Jumaat sebelum meningkatkan kekerapan penerbangan kepada empat kali seminggu dan tujuh kali seminggu.
Tergendalanya perkhidmatan kereta api dari Singapura ke Tumpat, Kelantan sejak hujung tahun lepas disebabkan kerosakan teruk landasan akibat banjir merupakan peluang terbaik bagi Firefly untuk memperkenalkan semula laluan ini.
Strategi Pemasaran
Untuk strategi pemasaran, sasaran utama bagi laluan ini mestilah para pelancong dari Singapura yang ingin ke Pulau Perhentian termasuk yang ingin ke Pulau Redang.
Kedua, menarik lebih ramai masyarakat Melayu Singapura untuk berkunjung ke Kelantan untuk tinggal secara inap desa (homestay) di Kelantan dengan menawarkan pakej aqikah dan ibadah korban pada Hari Raya Iduladha. Stategi ini boleh dilakukan dengan kerjasama Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).
Ketiga, mempromosikan rumah-rumah ibadat agama Buddha di Kelantan yang banyak terdapat di Tumpat dan Bachok untuk menarik kaum Cina Singapura untuk melawat Kelantan. Strategi ini boleh dikukuhkan dengan kerjasama pihak agen pelancongan yang boleh membawa mereka ke rumah-rumah ibadat ini.
Keempat, kepelbagaian makanan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang Kelantan, laksa Kelantan, laksam, ayam percik, nasi tumpang, dan pelbagai jenis kuih-muih tradisi Kelantan mampu menarik lebih ramai pelancong Singapura ke Kelantan.
Kelima, mempromosikan beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi di Singapura untuk menarik pelancong dari Kelantan terutamanya Merlion, Singapore River Cruise, Orchard Road, Kampung Gelam, dan juga Pasar Geylang Serai (pusat perniagaan orang Melayu di Singapura).
Keenam, jualan tiket mestilah dimulakan dua bulan lebih awal sebelum satu-satu laluan baharu dimulakan.
No comments:
Post a Comment