Friday, May 22, 2015

Pembinaan lapangan terbang baharu Lawas akan tingkatkan ekonomi Sarawak, Sabah

MIRI: Pembinaan lapangan terbang baharu Lawas di Bahagian Limbang dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan dapat meningkatkan potensi ekonomi, sosial dan pelancongan yang wujud di Sarawak dan Sabah, kata Anggota Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.

Beliau berkata ini kerana, saiz Lapangan Terbang Lawas sedia ada terlalu kecil dan landasannya pula sering dilanda banjir pada musim hujan hingga kadangkala terpaksa ditutup hingga seminggu.

"Di samping itu, ia juga hanya boleh digunakan pesawat Twin-Otter, tetapi dengan adanya lapangan terbang lebih besar, pesawat lebih besar akan dapat beroperasi di Lawas," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas cadangan pembinaan lapangan terbang baharu Lawas dalam tempoh RMK11.

Kini, pesawat Twin-Otter dengan 17 tempat duduk yang dikendalikan Maswings merupakan satu-satunya pesawat yang boleh digunakan dalam Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Lawas.

Henry berkata Lawas mempunyai potensi besar dari segi pelancongan, tetapi disebabkan kemudahan perkhidmatan udara yang terhad, wilayah utara Sarawak ini agak sukar untuk dipromosi sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, memandangkan Lawas bersempadan dengan Sipitang, Sabah, lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negeri itu boleh diterokai.

"Kami juga boleh meneroka potensi yang wujud di luar wilayah Sarawak dan Sabah, seperti Kalimantan di Indonesia, sekiranya lapangan terbang baharu Lawas mampu menampung kegunaan pesawat lebih besar," katanya.

Beliau berkata pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Lawas sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana tapaknya telah dikenal pasti sejak lama dulu.

Beliau berkata apabila siap kelak, lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu dijangka dapat digunakan pesawat ATR 72 Maswings yang mempunyai 72 tempat duduk.

Sumber: Bernama | 21 Mei 2015

No comments:

Post a Comment