SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia bakal membuka satu lagi laluan ke Amerika Syarikat, iaitu Hawaii bermula November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, permohonan sudah dihantar kepada pihak berkuasa penerbangan negara itu dan sedang menunggu kelulusannya.
“Kita dalam proses perbincangan akhir dan menunggu kelulusan pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat.
“Ini adalah satu lagi kejayaan yang dikecapi AirAsia bagi memudahkan penumpang ke destinasi berkenaan,” katanya kepada media selepas pelancaran AirAsia Travel Fair 2015 (AATF 2015) hari ini.
Ia disempurnakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang turut disertai Exco Pelancongan, Law Heng Kiang.
Selain Hawaii, syarikat itu bakal membuka satu lagi destinasi ke Timur Tengah dan Jepun tahun ini.
“Kita akan buka satu lagi laluan ke Jepun dan Timur Tengah namun masih terlalu awal untuk menyatakannya dengan terperinci. Kita akan umum setelah semua proses selesai.
Setakat ini ia mempunyai satu laluan sahaja ke Timur Tengah iaitu Jeddah. “Kita menyediakan rangkaian penerbangan terluas membabitkan 90 destinasi dengan operasi berpusat di Indonesia, Thailand, Filipina dan India.
"AirAsia juga menyediakan perkhidmatan ke jaringan penerbangan yang merangkumi negara Asean termasuk China dan Australia,” katanya.
Mengulas AATF 2015, Aireen berkata, ia menawarkan potongan 20 peratus bagi semua tempat duduk untuk penerbangan AirAsia dan AirAsia X.
Tawaran itu tertakluk bagi tempoh perjalanan dari 16 Jun hingga 28 Januari tahun hadapan.
“Sebelum ini, AATF hanya diadakan di Lembah Klang namun tahun ini kita memperluaskan ke lima negeri bermula Pulau Pinang. Selepas ini, kita berada di Lembah Klang (29-31 Mei), Johor Bahru (12-13 Jun), Kota Kinabalu (20-21 Jun) dan terakhir di Kuching (27-28 Jun).
“Untuk di Pulau Pinang, pengunjung yang terawal berpeluang menikmati tawaran eksklusif iaitu beli satu percuma satu tiket penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Macau,” katanya.
Aireen menyasarkan penjualan RM5 juta sepanjang dua hari AATF 2015 di negeri ini manakala empat destinasi lain antara RM45 hingga RM50 juta.
“AATF 2015 juga menampilkan sehingga 20 gerai dengan pelbagai aktiviti menarik," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Bisnes | 16 Mei 2015
No comments:
Post a Comment