Sunday, May 24, 2015

Operasi MAS di Nepal hampir pulih

SELEPAS hampir sebulan gempa bumi dahsyat dengan magnitud 7.8 menggegarkan negara Himalaya itu, pengembara yang menggunakan perkhidmatan pesawat Malaysia Airlines (MAS) antara Nepal dan Malaysia memberikan respons menggalakkan dengan operasi penerbangan dan di lapangan hampir pulih seperti biasa.

MAS dalam satu kenyataan berkata syarikat itu meneruskan penerbangan dua kali setiap hari dari Kathmandu ke Kuala Lumpur dengan kebanyakan pengembara adalah pekerja yang hendak ke Malaysia.

"Penerbangan beroperasi seperti biasa. Pejabat Malaysia Airlines (di Kathmandu) rosak teruk akibat kedua-dua gempa bumi," kata kenyataan itu merujuk kepada gegaran utama yang pertama (25 April) dan kedua pada 12 Mei pada magnitud 7.3.

Menurut MAS, kakitangan tempatan syarikat penerbangan itu dan kakitangan ejen perkhidmatan lapangan (GSA) sangat komited untuk menjalankan tugas mereka.

Syarikat penerbangan itu sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Nepal untuk membina dan menarik semula pasaran yang terjejas selepas dua gempa bumi yang dahsyat," jelas seorang pegawai dalam satu kenyataan ringkas kepada pertanyaan Bernama mengenai perkhidmatannya di Nepal. 

Selain MAS, dua syarikat penerbangan lain, AirAsia dan Malindo mengangkut kira-kira 1,000 hingga 1,400 penumpang setiap hari ke Malaysia.

Gempa bumi dahsyat pada 25 April dan gegaran susulan yang kuat 12 Mei, merekodkan sejumlah 8,567 kematian (kemas kini sehingga 18 Mei), manakala hampir 22,000 orang cedera.

Menurut pegawai Nepal, sebanyak 488,788 buah rumah musnah dan 267,282 rumah dengan sebahagiannya rosak akibat bencana tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, wakil-wakil kanan Sumber Manusia MAS baru-baru ini melawat kakitangannya di Kathmandu.

Pengarah Sumber Manusianya Zahrah Zaid dan Ketua Operasi dan Perhubungan Perusahaan, Kamal Azran melawat rumah mereka yang musnah dalam bencana itu. 

Semasa lawatan itu, 22 kakitangan tempatan menerima bantuan kewangan dan bantuan barangan.

Sejak gempa bumi melanda Kathmandu, MAS juga telah menerima permintaan menggalakkan dari seluruh dunia untuk membantu rakyat Nepal.

"Ia telah menyelesaikan banyak permintaan untuk membantu mangsa-mangsa di Nepal, dan syarikat penerbangan itu membenarkan untuk menempatkan keperluan lebih daripada 2,000 kg di ruang kargo daripada para penderma untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi," kata MAS dalam kenyataannya. 

Sumber: Bernama | 23 Mei 2015

No comments:

Post a Comment