Wednesday, May 27, 2015

Penggantungan laluan Kota Bharu - Ipoh tidak menjejaskan trafik penumpang

KOTA BHARU: Penggantungan laluan penerbangan Kota Bharu - Ipoh oleh syarikat penerbangan Malindo Air berkuat kuasa 30 Mei 2015 tidak menjejaskan kedatangan pelancong domestik ke Kelantan terutamanya dari Perak. 

Hal ini kerana Lebuh Raya Timur - Barat (LRTB) masih menjadi pilihan utama penduduk di kedua-dua buah negeri untuk berulang-alik sama ada dengan memandu kenderaan sendiri mahupun dengan pengangkutan awam terutamanya bas ekspres. 

Penggantungan ini juga tidak akan menjejaskan trafik penumpang di Lapangan Terbang Kota Bharu yang mencatatkan jumlah pengendalian penumpang seramai 1.8 juta pada tahun lepas. Malah trafik penumpang di lapangan terbang ini dijangka melebihi 2.0 juta penumpang pada tahun ini. 

Laluan Kota Bharu - Ipoh ini mula dilancarkan Malindo Air pada 14 Februari lepas dengan perkhidmatan penerbangan sulung bagi kedua-dua hala. Namun begitu, perkhidmatan berjadual tiga kali seminggu ini kemudiannya ditunda kepada 3 Mac ekoran kekurangan sambutan daripada orang awam.

No comments:

Post a Comment