Thursday, April 23, 2015

KERAJAAN PUSAT DIGESA PANJANGKAN LANDASAN LTSIP KEPADA 3,500 M

Landasan LTSIP wajar dipanjangkan daripada 2,400 m kepada 3,500 m untuk menyokong potensi lapangan terbang ini untuk menjadi hab penerbangan serantau dan juga untuk mengendalikan penerbangan haji.  
KERAJAAN Pusat digesa supaya dapat memberikan peruntukan yang secukupnya di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bukan sahaja untuk projek pembesaran bangunan terminal sedia ada bagi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) tetapi juga menyediakan peruntukan khusus untuk memanjangkan landasan lapangan terbang ini. 

Panjang landasan LTSIP pada ketika ini adalah 2,400 meter (m), iaitu landasan lapangan terbang terpendek di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia berbanding landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (3,480 m) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (2,804 m) yang jauh lebih panjang. 

Dengan mengambil kira keperluan pada masa hadapan dan menyokong potensi LTSIP untuk menjadi hab penerbangan antarabangsa serantau, serta kemungkinan untuk mengadakan penerbangan haji secara terus dari Kota Bharu ke Jeddah atau Madinah, landasan LTSIP wajar dipanjangkan daripada 2,400 m kepada 3,500 m

Landasan dengan kepanjangan 3,500 m mampu untuk mengendalikan pesawat berbadan lebar seperti B747-400, B777-200, A330-300, A350, dan juga B787 Dreamliner tanpa had muatan. 

Cadangan ini diharap mendapat pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Pusat lebih-lebih lagi rakyat Kelantan sudah menunggu terlalu lama untuk memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa, selain mengharapkan penerbangan haji diadakan secara terus dari Kota Bharu ke Tanah Suci tanpa perlu lagi transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).  

Setakat ini, terdapat tujuh buah lapangan terbang di Malaysia yang mengadakan penerbangan haji secara terus ke Jeddah atau Madinah, iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (LTAS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (LTSM), dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar (LTSAH). 

Projek pemanjangan landasan ini dianggarkan melibatkan kos sekitar RM120 juta sehingga RM150 juta sahaja.

KEMPEN: Silalah "like" (menjadi ahli) bagi laman kempen ini sebagai tanda sokongan anda ke atas cadangan memanjangkan landasan daripada 2,400 m kepada 3,500 m:-www.facebook.com/landasan3500m

NAIK TARAF LTSIP | DATO' SRI MUSTAPA MOHAMED | JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN | KERAJAAN PUSAT | DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK | KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA | JABATAN PENERBANGAN AWAM MALAYSIA (DCA) | MALAYSIA AIRPORTS HOLDINGS BERHAD

2 comments:

  1. Nak minta tolong buat cadangan lapangan terbang di kawasan gua musang kerana nak blk guna flight terlampau jauh untuk turun d p.chepa.anak2 gua musang di perantauan terpaksa balik mggunakan kereta wlupun memakan masa yang agak lama dan kos jauh lbh tinggi berbanding kapal terbang

    ReplyDelete
  2. Susah ni sbb GM easily accessible via roads n railways. Lain la klu btul2 di pedalaman mcm Sarawak tu mcm Long Pasia dll.

    ReplyDelete