Thursday, August 20, 2015

Kelantan cadang bina lapangan terbang baharu di Machang

Ahmad Yakob
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mencadangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Sungai Bagan, Machang bagi memberi kemudahan kepada rakyat Kelantan termasuk mengadakan penerbangan haji terus ke Jeddah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, cadangan itu dibuat kerana tanah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa tidak mampu bagi menjalankan kerja-kerja pembesaran landasan khususnya bagi pendaratan kapal-kapal besar.

Susulan itu katanya, Kelantan Kelantan telah pun mengutuskan surat cadangan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan selepas mendapat persetujuan mesyuarat exco baru- baru ini.

Katanya, dengan landasan yang luas, ia membolehkan lapangan terbang tersebut boleh beroperasi sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa termasuk membuat penerbangan jemaah haji terus ke Jeddah.

“Dalam cadangan kita kepada Kerajaan Persekutuan ialah di Machang setelah mendapati pesawat Boeing 747 atau besar lagi tidak boleh mendarat di sana kerana perlu kawasan luas termasuk tanah (Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan) Putik.

"Kita cadangkan menerusi keputusan mesyuarat kerajaan negeri, boleh bina di kawasan seluas 800 hektar di Estet Bagan di Machang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemudahan dan perancangan yang disediakan kerajaan negeri bagi bantu jemaah haji di Kelantan.

Semasa Sidang Dun Jun lalu, Adun Kuala Balah, Datuk Aziz Derasyid mengakui wakil rakyat BN ada mengemukakan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Machang semasa mengadakan perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar.

Hal ini kerana katanya, Machang sebuah lokasi yang strategik iaitu di tengah-tengah Kelantan selain keluasan tanah di Sungai Bagan yang dimiliki oleh kerajaan negeri luas untuk membangunkan sebuah lapangan terbang.

Difahamkan tanah Estet Sungai Bagan dipajak kepada sebuah syarikat perladangan dan konsensinya dikatakan berakhir dalam masa terdekat.

Ahmad harap perkara ini dapat perhatian sewajarnya bagi beri keselesaan jemaah haji selain mendatangkan perkembangan positif hasil kewujudan lapangan terbang berkenaan.

Sumber: Sinar Harian | 20 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment