Thursday, August 20, 2015

Kelantan cadang bina lapangan terbang antarabangsa di Machang

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengenal pasti kawasan seluas 800 hektar di Estet Bagan, Machang sebagai lokasi bagi membina lapangan terbang baharu di Kelantan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kawasan berkenaan dipilih kerana mempunyai keluasan yang cukup sesuai dibina lapangan terbang antarabangsa.

Katanya cadangan itu dibuat memandangkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa sekarang tidak lagi mampu menampung pembesaran landasan.

“Hasrat untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa bermasalah kerana ruangnya tidak mencukupi.

“Lagi pun kalau diambil balik tanah sekitarnya juga menjadi masalah kerana terdapat banyak bangunan termasuk Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik),” katanya di Kota Darulnaim semalam.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini pembangkang memberitahu mereka mengemukakan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Machang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar.

Ustaz Ahmad berkata lapangan terbang baharu yang lebih besar membolehkan jemaah haji dari Kelantan berlepas ke Jeddah tanpa perlu singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Katanya hasrat tersebut telah dinyatakan kepada kerajaan pusat baru-baru ini dan surat permohonan mengenainya juga sudah dihantar.

“Kerajaan negeri belum mendapat sebarang jawapan lagi daripada kerajaan pusat,” katanya. 

Sumber: Harakah Daily | 20 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment