Sebahagian jemaah haji ketika mendaftar masuk pada majlis pelepasan penerbangan pertama jemaah haji Ke Tanah Suci di Kuala Lumpur, hari ini. |
KUALA LUMPUR: Penerbangan pertama Malaysia Airlines (MAS) bagi musim haji tahun ini, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, Arab Saudi pada 12.35 tengah hari tadi, membawa 279 jemaah haji.
Ketua Bahagian Haji dan Sewa Khas MAS, Yazid Mohamed berkata, pesawat MH8000 dijadual tiba di Madinah pada jam 4.20 petang (waktu tempatan) hari ini.
"MAS akan mengadakan 39 penerbangan ke Jeddah dan Madinah, berlepas dari tujuh lokasi di Malaysia iaitu Kuala Lumpur (13 penerbangan), Pulau Pinang (5), Johor Bahru (6), Kuching (3), Kota Kinabalu (2), Kuala Terengganu dan Alor Setar masing-masing dua penerbangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, MAS dan Tabung Haji buat pertama kali akan mengadakan enam penerbangan perantara dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat B737-800.
"Pelepasan pertama penerbangan perantara dari Kota Bharu akan tiba di Kuala Lumpur pada 2 petang dan akan berlepas dari KLIA sebagai MH8002 pada 4.30 petang pada 16 Ogos dan akan tiba di Madinah pada 8.15 malam hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, MAS terus komited dalam tanggungjawabnya untuk memberi khidmat kepada semua jemaah haji dan menyediakan perkhidmatan pengendalian di darat dan dalam penerbangan, yang terbaik sepanjang musim haji.
"Kami berharap jemaah akan mendapati kemudahan kami selesa dan kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mendoakan semoga penerbangan jemaah haji ke Tanah Suci diberkati," katanya.
Sumber: Bernama | 16 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment