Tuesday, August 18, 2015

Sebuah lapangan terbang akan dibina di Perlis - Azlan Man

Azlan Man
KANGAR: Sebuah lapangan terbang akan dibina di negeri ini sebagai satu daripada pemangkin utama bagi melonjakkan pembangunan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Lapangan terbang berkenaan akan dibina di kawasan pertumbuhan baharu Chuping sejajar dengan usaha kerajaan negeri menjadikannya sebagai kawasan hab pembangunan, katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan untuk kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di Dewan 2020 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Romli Dai yang turut melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Perhimpunan yang dihoskan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Pauh itu turut dihadiri para Exco Kerajaan Negeri, anggota-anggota Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan, para pengetua dan guru besar serta pemimpin masyarakat.

Tanpa menyatakan kos dan keluasan kawasan lapangan terbang yang akan dibina itu, Menteri Besar berkata lapangan terbang berkenaan adalah untuk pendaratan kapal terbang penumpang bersaiz kecil bagi memudahkan kedatangan para pelabur dari dalam dan luar negara.

Katanya, pembinaan lapangan terbang berkenaan serentak dengan pembinaan kemudahan-kemudahan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan tapak perindustrian berasaskan industri hijau.

Beliau berharap dengan adanya lapangan terbang tersebut, ia akan membantu membangunkan Perlis menjadi sebuah negeri maju.

Dalam pada itu, beliau amat mengharapkan sokongan dan kerjasama semua kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini agar hasrat itu benar-benar menjadi kenyataan.

Pada majlis itu, Romli yang mewakili Azlan menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan-jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun, pihak swasta dan wakil-wakil kaum g terdapat di negeri ini.

Sumber: Bernama | 18 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment